Tuesday, November 2, 2010

Rindu Oktober Merah Jambu

Kata teman saya : Oktober musim lalu adalah tragedi matahari penyinar jiwa sufiku sirna sama sekali dighaibi daripada mata zahiri pada hari kelahiran diri..


Kata saya : Moga oktober tahun ini seindah mimpi dini justeru kau telah redatabah hadapi ujian Ilahi. usir duka dari bertakhta di sanubari, oktober 2010 begitu istimewa dan tersendiri kerana memiliki lima jumaat, lima sabtu, dan lima ahad. fenomena ini terjadi 823 tahun sekali. padang embun masih basah meski hujan semalam teduh sudah, jumaat barakah saksi kudus sebuah jiwa tulus berhijrah, mohon dibentangkan Ilahi sebidang putih permaidani bukan kuning atau merah.


Kata teman saya : cepatnya ahad, baru semalam kita berjumpa dalam kuliah jumaat. Ish ! betullah dunia sudah nak kiamat. 


Senyuman mata saya menjawab, daripada berkata yang sia2, baiklah berdiam sahaja sementara minda mula diransang fakta. segera saya kongsikan bersama teman seiras jiwa yang tak pernah bersua kecuali berbicara melalui talian maya.


Kata ulama' : ahad hari afdal bercucuk tanam dan membuat binaan, hari kreasi dan inovasi Maha Pencipta yang menzahirkan ke dunia akan tujuh lapis bumi beserta entiti, orbit bintang bersirkulasi, seminggu miliki tujuh hari, diperbuat tujuh tingkat api neraka, tujuh samudera raya dunia dan tujuh anggota badan manusia."


Kata teman saya : indah gubahan aksara kau hias, mendalam kesannya pada jiwaku berbekas. alangkah bagusnya jika semua manusia faham nas dan arif tugas.


Tiba2 idea melintas, saya kira bola tanggungan hantaran teman setia berbalas madah di talian maya itu tidak wajar dibiar terbabas. lalu saya tampil berhujah waras penuh bernas.


Kata saya : jika semua manusia berjiwa seiras, masakan buruk baik dilihat jelas ?


Kata teman saya: Apa aktiviti mengisi ahad istimewa kembar berlima yang mustahil menjelma semula sehingga 823 tahun lamanya ?


Kata saya : hari ini ku tanam sepohon makrifat cinta, semaian seminggu tanpa bertegur sapa natijah tersalah sangka angkara seseorang yang tak faham makna teguran yang kumaksudkan ialah bukan bertujuan mendedahkan keburukan, tapi mencari kebenaran. kubajai makrifat cinta itu dengan kaifiat An-Nur hadiah kepada seorang lagi teman seiras jiwa yang jauh dimata namun di jiwa seperti biasa terutama pabila kupejamkan mata, segera wajahnya menjelma tersenyum mesra sedia minta diriba untuk dibacakan An-Nur ayat 30 buat kesekian kalinya. Dan lagi kata saya, pada 1 mercu tanda, kuukir bait2 puisinya :


Belajar hidup tanpa bayang-bayang,
pasti ilham datang melayang;
fahami sebenar hakikat sayang,
bukan rindu terkenang-kenang.


Saya mulai mengesan bilur resah mula membiru dalam kalbu teman saya itu. demi memahami ia punya relevensi buat semua, maka saya ufuki tanya ke meja logika teman seiras jiwa yang berkongsi rasa yang sama dan juga buat para cendekia, kesukma jiwanpara pencinta, ke kamar rasa para pendamba. buat faham segera bersinar geliat waham segara sirna. sekali seni bersemi dalam jiwa, selamanya ia abadi di sana. Majas apakah yang boleh dijelaskan kala hati nazak merindui jasad seseorang yang pernah meremuk redamkan hati nurani ini tanpa belas ? ironi apakah ini wahai Rabbi ? Bagaimana rupa jiwa manusia yang mengerti lagi memahami makna nazak sengsara luka ditikami belati cinta boleh tergamak menyiatrobek dan menggarami cedera jiwa manusia lain pula ?


Kata teman saya : saya bercerita untuk mendapatkan pandangan kedua kerana kau pakar pemikir pelan rekonstruksi jiwa.


Kata saya : terpana tidak pada fatamorgana kala hakikat kaudakap nyata, pujuklah hati bawa istighfar syukuri apa yang kau ada. barangkali yang cuba kau suluh nampak seperti menyerlah hak meski jauh, walhal ia hanya emas bersepuh bukanlah tempawan nan ampuh. nyanyikan lagu cinta silam pembangkit aira kenangan semalam. meski ada luka nan dalam relakan setia menyekam kerana bukankah berlian terhasil daripada asakan dan tindihan yang kejam ?


Kata teman saya : bagaimana mahu kupujuk sendu yang mahu mengisak mengisak mengenang seseorang yang bertukar watak ? walhal dia mendakwa keras bahawa waras masih di otak dan pilihannya selalu molek mutlak sedangkan dia berhak berkata tidak apabila disua keperluan dengan kehendak tetapi tetap dia menolak dengan alasan yang direka sekian banyak ?


Kata saya: jika kasihmu kekal setia, doakan dia senantiasa bahagia dengan pilihannya. hal lain serahkan saja pada Maha Kuasa. habis cerita. saya sesekali enggan saya dan dia lupa pesan bonda.


Kata bonda : Amalkan sentiasa mohon maaf meski tiada salah kita, apatah lagi tidak sengaja bahkan tak tahu pun salah siapa? tak mengapa, mohon maaf tidak sesekali akan merendahkan maruah insan ketimbangan meninggikan keegoan. bimbang jika ketidaksengajaan kita telah melukakan insan lain itu bakal dihisab pada hari perhitungan.


setakat ini bicara aku..  sumbangan dari pancaindera...
Kamar Tulisku, Coretan Diriku, Rentetan Hidupku

No comments: